KUALA LUMPUR: Pelakon filem Tombiruo, Zul Ariffin, mengakui hubungannya dengan Zahirah Macwilson goyah susulan isu mengaitkan kekasihnya itu sebagai orang ketiga dalam kemelut percintaan Kamal Adli dan Emma Maembong.

Zul, 31, menjelaskan hubungannya dengan Zahirah, 22, dalam keadaan tidak baik, selain tertekan apabila namanya terpalit sama ketika drama dan filem lakonannya sedang mendapat sambutan.

“Ketika isu itu tercetus, saya dan Zahirah bergaduh serta tidak bercakap selama tiga minggu. Saya hanya mendapat tahu mengenai isu itu apabila Emma menghubungi saya, bukan daripada mulut Zahirah atau Kamal.

ZUL Ariffin mengakui hubungannya dengan Zahirah Macwilson goyah. – Foto NSTP

“Saya akui terasa hati tetapi tidak marah. Isu ini sepatutnya dapat dielak tetapi apa boleh buat, semua sudah berlaku.

“Hubungan Kamal dan Emma sudah baik, Zahirah pula apa yang dia dapat?” katanya ketika ditemui pada kemuncak Anugerah Skrin 2017, malam tadi.

Pelakon kelahiran Taiping, Perak itu berkata, Zahirah sepatutnya berusaha memperbaiki hubungan mereka yang goyah dan bersemuka dengannya, bukan terlalu mengikut kata hati hingga mencetuskan isu lain.

“Saya kesal kerana isu ini tidak sepatutnya berlaku. Ada rakan di lokasi penggambaran memberitahu Zahirah tertekan apabila kami berselisih faham dan lama tidak berhubung. Apa perlu digaduhkan, hubungi saja saya.

“Perlukah Zahirah menyemarakkan hati dengan melakukan perkara yang boleh menimbulkan isu lain? Kami tiada medium lain untuk memperbaikinya. Dia hanya perlu bersemuka dengan saya.

“Jika Zahirah mahu berubah, lakukan tetapi jika sebaliknya, tidak mengapa. Saya tidak akan menyalahkannya,” katanya.

Mengenai isu kepercayaan terhadap kekasihnya yang mungkin terhakis gara-gara isu itu, Zul enggan memberikan jawapan.

“Saya tidak boleh nak menjawab soalan ini. Saya amat terasa,” katanya.

Pelakon yang mencetuskan fenomena terbaru menerusi drama Titian Cinta bersama bakat baharu, Farah Nabila, itu menafikan khabar angin mengenai perancangannya dan Zahirah untuk mendirikan rumah tangga tahun depan.

“Tiada apa-apa perancangan ke arah itu. Memang kami pernah berbincang mengenai perkahwinan, tetapi tidak pernah menetapkan tarikhnya.

“Jika mahu bernikah, tidak perlu menunggu hingga tahun depan. Saya hanya mahu ia dijalankan mengikut syarak tanpa perancangan besar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here